ATLET taekwondo, Yong Jin Kun, mengidamkan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, November depan, sementara pemain badminton, Ng Qi Xuan, menyimpan impian untuk mewakili skuad senior kebangsaan selepas masing-masing diangkat sebagai Olahragawan dan Olahragawati dalam Majlis Sukan Institut Pengajian Tinggi Malaysia (Masiswa) 2018 di Bangi, hari ini.

Jin Kun dipilih sebagai Olahragawan di atas kejayaannya menjuarai Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat dan pingat perak Kejohanan Asia sepanjang tahun lalu.

Dia berazam untuk menjadikan anugerah itu sebagai pembakar semangat untuk memenangi pingat emas di Filipina dalam acara berpasangan campuran poomsae bersama gandingannya, Sara Yap.

"Persiapan kami agak baik dan kami sebenarnya telah beraksi baik dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Kami telah meningkatkan prestasi kami tahun ini dan akan menghadapi Kejohanan Asean, Sabtu ini.

"Selepas itu, kami akan melihat kemampuan sebenar kami.

"Mengenai latihan pula, kami memiliki jurulatih dari Korea Selatan dan segala-galanya nampak baik menjelang Sukan SEA tahun ini," katanya.

Sementara itu, Qi Xuan, yang pernah berada dalam program remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), aktif memainkan peranannya dalam skuad universiti negara dengan memenangi pingat emas beregu wanita dalam Sukan Universiti Asean di Myanmar, tahun lalu.

"Saya tidak menjangkakan untuk meraih gelaran ini.

"Saya mahu berterima kasih kepada jurulatih dan gandingan saya kerana membantu saya untuk mendapatkan keputusan yang baik sepanjang tahun lalu," katanya.