Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan rasa lucu beliau apabila dipersalahkan dalam pelbagai perkara termasuk prestasi buruk pasukan bola sepak Inggeris Manchester United.

Menulis dalam laman Facebook beliau, Najib merujuk hal mengenai pasukan kegemarannya itu tatkala diserang oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan dan netizen lantaran masalah yang dihadapi mereka.

"Harga tak turun? Salah Najib. Man U kalah? Salah Najib.

"Esok kalau hujan lewat masuk kerja? Salah Najib," tulisnya dalam posting yang sudahpun dikongsi hampir 1,000 pengguna Facebook dengan lebih 5,700 reaksi walaupun baru diterbitkan selama 20 minit.

Manchester United, pasukan paling gemilang dalam sejarah Liga Perdana Inggeris kini menghadapi zaman malap apabila hanya menduduki tempat ke-10 liga setakat ini serta tersingkir daripada Piala Liga.

Najib berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan sejumlah hampir RM2.3 bilion.

Bagi kesalahan rasuah, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM manakala 21 lagi pertuduhan tersebut adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlatfa) 2001 dengan cara menerima, menggunakan dan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram.