MAHAL sangat ke mahu menyewa padang bola sepak di sini? Sudahlah penyediaan padang bola sepak mahal untuk menyewa juga harga yang tinggi dikenakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Shoot & Score Sdn. Bhd., Ahmad Yani Ismail berkata terdapat beberapa faktor , untuk menentukan kadar sewa padang bola sepak.

Shoot & Score merupakan syarikat pengurusan Kompleks Sukan Negara, Panasonic Seksyen 21 yang beroperasi di Shah Alam, mengenakan kadar sewa RM1060 untuk tempoh dua jam bagi permainan pada waktu malam.

BACA: 'Main bola sepak lebih mahal daripada golf'

Ahmad Yani (dua dari kiri) semasa menjadi salah seorang tetamu rancangan bicara bola sepak terbitan Astro AWANI, Bual Bola.

Penentuan harga berdasarkan beberapa faktor termasuk:

* Kemudahan lain seperti tempat solat;

* Bilik persalinan yang kondusif;

* Tempat duduk berbumbung bagi penonton dan insuran; dan

* Kondisi padang tiruan yang mendapat kelulusan dan pengiktirafan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Padang bola sepak kami mencapai standard tahap dua FIFA. Selain itu padang kami mempunyai ‘Insuran Liabiliti Awam’. Kami juga menyediakan khidmat pegawai keselamatan walaupun hak penjagaan barang-barang pelanggan dibawah tanggungjawab mereka sendiri ” kata Ahmad Yani.

Tambah Ahmad Yani, kos menyewa padang bola sepak di Stadium Panasonic adalah antara 'venue' termurah di sekitar Lembah Klang jika diambil kira kemudahan tambahan yang disediakan dan juga tempoh sewa selama dua jam berbanding satu setengah jam di tempat lain.

Jadi apa yang menyebabkan harga padang yang tidak menentukan dan berbeza daripada apa yang ditawarkan Shoot & Score?

Ahmad Yani tidak menafikan kewujudan orang tengah yang menyebabkan kos sewa padang lebih murah atau mahal, namun ini dapat dielak jika pelanggan membuat tempahan terus kepada syarikatnya.

“Tidak boleh nak salahkan pengadil atau ‘ulat’ padang 100 peratus. Kita ada pilihan untuk tempah terus kepada kami atau melalui orang tengah. Antara faktor ramai yang tempah melalui orang tengah ialah mereka tidak mahu bayar wang tempahan yang dikenakan pihak kami,” jelas Ahmad Yani.

“Kalau tempah menggunakan orang tengah kenalah ikut harga mereka dengan tambahan kos perkhidmatan. Pelanggan juga boleh tempah secara terus kepada kami di Shoot & Score dengan membuat panggilan kepada kami,” tambahnya.

Harga sewa yang berbeza juga tertakluk kepada bekalan dan permintaan walaupun pada waktu dan hari yang sama.

“Walaupun kadang-kala kami terima duit tempahan, ada pasukan yang batalkan perlawanan dan wang tersebut tidak akan dikembalikan. Jika ini berlaku kami akan hubungi Golazo Football dan pihak-pihak lain untuk menawarkan harga promosi,” katanya.

Golazo Football merupakan sebuah syarikat yang bertindak sebagai orang tengah untuk pasukan bola sepak sosial mencari pasukan lawan atau menempah padang bola sepak menerusi aplikasi mudah alih selain atas talian.