BUKAN sahaja prestasi baik di atas padang, malah pentadbiran kelab Liverpool juga berada di landasan yang betul apabila mengumumkan rekod keuntungan global terbaharu bernilai £106 juta (RM558.2 juta).

Rekod keuntungan selepas cukai sebelum ini dicatat Leicester City pada musim 2016-17 iaitu £80 juta (RM421.3 juta) disumbang menerusi kejayaan mara pasukan itu ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2017.

Menerusi laporan kewangannya, the Reds mendedahkan catatan keuntungan sebelum cukai £125 juta (RM656.3 juta), peningkatan berlipat kali ganda berbanding £40 juta (RM210.6 juta) juta yang dicatat sebelum ini.

Kelab itu juga catat rekod peningkatan perolehan dalam tempoh 12 bulan hingga Mei 2018 berjumlah £90 juta (RM474 juta) kepada £455 juta (RM2.39 bilion).

Keuntungan Liverpool banyak disumbang kejayaan pasukan itu ke final UCL bernilai £72 juta (RM379.2 juta).

Ia juga dibantu dengan penjualan pemain tengah, Philippe Coutinho kepada Barcelona bernilai £142 juta (RM747.8 juta) pada Januari 2018.

Dalam perolehan pendapatan, Liverpool melonjak di tempat ketiga mengatasi Arsenal, di belakang Manchester United dan Manchester City.

Secara keseluruhan, £137 juta (RM712.5 juta) aliran wang tunai ke dalam kelab daripada perpindahan pemain sudah dilaburkan semula ke dalam skuad dengan lebih £190 juta (RM1 bilion) dilaburkan untuk mendapatkan pemain baharu.

Laporan ini menunjukkan betapa pentingnya pasukan di Eropah untuk layak ke UCL yang dapat memastikan kelab itu terus bersaing dengan kelab kaya yang lain.