AKSI Liga Super Malaysia 2018 membuka tirai dengan pertembungan dua juara iaitu pasukan Kedah dan Johor Darul Takzim (JDT) bagi merebut Piala Sumbangsih.

Pelbagai ramalan dan cakap-cakap pasukan mana mampu mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan berlangsung di Larkin malam ini.

Bagaimanapun, tidak kira anda menyokong pasukan mana pun, perlawanan ini bukan aksi yang perlu anda lepaskan. Berikut lima sebab kenapa anda perlu menonton Kedah vs JDT:

1. Pertembungan Dua Gergasi Bola Sepak

Suka atau tidak, pertembungan Kedah dan JDT merupakan aksi antara dua gergasi bola sepak tempatan masa kini yang mempunyai kelas tersendiri. Dibarisi pemain serta barisan jurulatih terbaik, sudah pasti kedua-dua pasukan ini akan menampilkan aksi terbaik selain memberi bayangan kepada kelab tempatan lain agar berwaspada untuk saingan musim baharu ini.

2. Bintang Bertemu bintang

Tidak dapat dinafikan kedua-dua pasukan mempunyai barisan pemain hebat dengan masing-masing mempunyai kehebatan tersendiri dalam mengancam kubu lawan. JDT misalnya mempunyai ramai pemain pilihan selain Safawi Rasid, Ahmad Hazwan Bakri, Jorge Pereyra Diaz, Safiq Rahim dan ramai lagi. Bagaimanapun, Kedah juga tidak ketinggalan dibarisi pemain berprofil tinggi termasuk Pablo Pallares, Baddrol Baktiar, Farhan Roslan dan Ifwat Akmal.

Bintang padang yang mana jadi inspirasi anda malam ini? - Astro AWANI

3. Si Kacak Beraksi

Bola sepak semestinya merupakan sukan yang paling diminati di seluruh dunia. Selain diminati kaum Adam, bola sepak juga turut menjadi perhatian kaum Hawa yang boleh cuci mata dengan ketampanan pemain-pemain bola sepak.

Ada yang meminati semangat dan aksi permainan mereka... Ada pula yang meminati wajah dan penampilan mereka. - Astro AWANI

4. Kit Baharu

Kit atau jersi pasukan bola sepak pasti antara perkara yang ditunggu peminat bagi setiap pembukaan musim liga. Jadi, mengapa anda perlu terlepas melihat pemain kesayangan menyarung jersi baharu untuk perlawanan pembukaan ini?




5. This Is Larkin

Gelangang keramat JDT ini bukan biasa-biasa. Mana-mana pasukan yang bertandang ke Larkin pasti bertemu laluan sukar apatah lagi dengan gema sorakan penyokong tuan rumah. Bagaimanapun, ini tidak bermakna JDT boleh pandang ringan dengan Skuad Lang Merah yang pasti mahu Piala Sumbangsih dimenangi mereka kekal di Negeri Jelapang Padi itu.

Suasana di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini pasti gegak gempita. - Gambar fail

Mampukah penyokong hijau kuning sama-sama menyerlah di lautan merah biru di Stadium Larkin malam ini? - Astro AWANI