ROBERT Lewandowski memberi jaminan kepada Bayern Munich mengenai komitmennya kepada kelab itu selepas terdapat khabar angin yang menyatakan dia bakal meninggalkan Allianz Arena.

Penyerang berusia 30 tahun itu menjaringkan gol ketika Bayern mengatasi AEK Athens 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) semalam, selepas gagal meledak gol dalam tiga perlawanan.

Lewandowski yang kembali menemui sentuhan terbaik, memberikan kelegaan kepada jurulaih Bayern, Niko Kovac, yang berada dalam situasi yang tertekan apabila sekadar memimpin pasukan di tangga keempat Bundesliga selepas lapan perlawanan.

Kovac mempertahankan Lewandowski pada Ogos lalu selepas pemain kebangsaan Poland itu mengadu pengurusan kelab tidak memberikan perlindungan kepadanya daripada sebarang kritikan.

Sokongan jurulatih itu akhirnya berhasil selepas Lewandowski memberitahu Sport Bild: "Saya semestinya gembira berada di Munich.

"Saya akan mencuba yang terbaik untuk pasukan bagi melakar kemenangan. Tetapi segalanya mengenai pasukan kerana setiap orang bertungkus-lumus memastikan kemenangan.

"Bukan saya sahaja, bukan Robert Lewandowski sahaja."

Bayern akan berkunjung ke Mainz dalam aksi Bundesliga pada Sabtu ini dan menyasarkan kemenangan kedua berturut-turut buat kali pertama di bawah pimpinan Kovac.