Pemain England Laura Massaro muncul sebagai pemain skuasy nombor satu dunia yang baharu sementara ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David kekal di ranking ketiga.

Menurut Persatuan Skuasy Profesional (PSA), Laura, 32, menjadi pemain England yang ketiga menduduki carta nombor satu dunia selepas menyingkirkan pemain Mesir Raneem El Welily daripada senarai teratas Ranking Dunia Wanita PSA bagi Januari 2016.

Untuk rekod, beliau telah meraih tiga gelaran jelajah Dunia PSA dan beraksi dalam empat daripada lima saingan final untuk menduduki status teratas dan dinobatkan sebagai pemain nombor satu dunia buat kali pertama dalam kerjayanya, mengikut jejak langkah rakan senegara Cassie Jackman (2004) dan Lisa Opie (1988).

Massaro mengisi slot ranking teratas dunia dengan kemenangan ke atas Raneem El Welily, yang menduduki carta itu dari September hingga Disember 2015 apabila Raneem tewas kepada musuh ketatnya Nicol dalam aksi separuh akhir Terbuka Hong Kong baru-baru ini.

"Saingan antara Raneem, Nicol dan saya adalah menarik tetapi terdapat begitu ramai pemain dalam 10 teratas yang mampu menjuarai kejohanan utama dan merangkul gelaran pada kejohanan sekarang berbanding sebelumnya," kata Massaro.

Sementara itu, pemain nombor dua Malaysia, Delia Arnold naik dua anak tangga ke tempat ke-16 dan Low Wee Wern, yang sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan ligamen pada lutut kirinya yang dibedah pada April lepas, berada di posisi ke-30.

Dalam kategori lelaki, Mohd Nafiizwan Adnan berada di ranking ke-34.