JURGEN Klopp memberikan penghormatan buat pasukannya, Liverpool, selepas menjuarai Piala Dunia Kelab dengan menewaskan Flamengo 1-0 awal pagi tadi, namun dia sukar untuk menyampaikan rasa hormat itu dengan kata-kata.

The Reds menerima tentangan hebat daripada juara Copa Libertadores, Flamengo, dalam final di Doha, Qatar itu.

Kedua-dua pasukan buntu untuk menghasilkan jaringan sepanjang 90 minit tetapi Roberto Firmino akhirnya menamatkan kekentalan pasukan dari negara asalya itu pada minit ke-99.

Walaupun Flamengo terus memberikan tekanan sehingga ke penghujung perlawanan, Liverpool mempertahankan kelebihan itu untuk meraih kejuaraan dunia pertama mereka.

Dan Klopp berdepan kesukaran untuk meluahkan perasaannya.

"Saya bergelut untuk mencari kata-kata untuk meluahkan rasa hormat saya kepada pemain. Ia amat luar biasa. Kami melakukan banyak perkara yang hebat," katanya kepada wartawan.

"Saya dapat lihat pelbagai aksi hebat dan saya amat gembira.

"Saya fikir kami layak menang. Kami pasukan yang lebih baik.

"Pada waktu penentuan, kami mempunyai penjaga gol yang bagus dan pada waktu-waktu lain, kami pasukan yang lebih dominan.

"Saya amat gembira.

"Ia perlawanan yang mendebarkan di atas sebab-sebab yang berbeza.

"Ia bukanlah permainan terbaik kami tetapi ia sudah cukup untuk kami memenangi perlawanan.

"Ia malam yang hebat buat kelab ini.

"Saya pernah katakan sebelum ini tentang bagaimana perasaannya.

"Sekarang saya tahu perasaannya amat hebat, amat luar biasa.

"Saya amat berbangga dengan pemain kami," katanya.