PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, menganggap dia hidup seperti seorang pertapa tatkala The Reds berpotensi untuk menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Liverpool menghuni tangga kedua liga, satu mata di belakang juara bertahan, Manchester City, dalam usaha mereka untuk merebut gelaran liga sulung sejak 1990.

Dalam masa sama, Liverpool bersedia untuk meneruskan kempen Liga Juara-Juara (UCL) apabila bakal menghadapi Lionel Messi dan Barcelona.

Di celah-celah berita kerancakan di Liverpool, Klopp mendedahkan: "Saya tidak keluar rumah -- selain daripada (urusan) bola sepak.

"Mengapa? Ini kerana saya sudah mempunyai seluar jeans yang mencukupi untuk menampung kehidupan saya selama 20 tahun yang akan datang, jadi keadaan saya baik-baik saja, saya tidak keluar pergi ke kedai-kedai, saya tidak melakukan apa-apa.

"Saya dapat membayangkan suasana di bandar ketika ini cukup baik tetapi saya tidak perlu mendengarnya, saya tidak perlu melihatnya.

"Tetapi ini adalah bola sepak yang menjadi sebahagian besar hidup saya.

"Saya merupakan peminat bola sepak yang tegar dan jika pasukan saya sedang melalui sesuatu yang hebat, saya tahu apa yang sepatutnya saya lakukan. Situasi kegemaran saya adalah keadaan seperti sekarang ini kerana kejayaan semakin menghampiri.

"Saya boleh bayangkan orang mahu keluar dari rumah dan meraikannya, bagaimanapun kami bukanlah sebahagian mereka (penyokong). Kami harus pastikan keadaan itu tetap seperti ini dan itu bukan masalah.

"Saya sukakan keadaan kami ketika ini, ia benar-benar dalam situasi yang cukup baik.

"Tetapi sudah tentulah kami perlu buktikannya setiap hari dan dalam setiap perlawanan.

"Segaalanya berjalan tetapi tidaklah sempurna. Oleh itu, kami perlu terus melaksanakan tugas kami."

Liverpool di ambang 17 perlawanan tanpa kalah, termasuk lapan kemenangan berturut-turut selepas membelasah Porto 4-1 dalam pertemuan kedua suku akhir UCL, Rabu lalu.

Skuad kendalian Klopp itu akan bertandang ke pasukan yang diancam penyingkiran, Cardiff City, dengan pengurus berbangsa Jerman itu menambah: "Ia nampak bagus buat kami tetapi ia ibarat larian 400 meter.

"Anda mungkin berfikir anda berada di kedudukan yang baik tetapi kemudiannya anda hilang tumpuan buat seketika sehingga dipintas peserta lain. Perlumbaan itu hanya selesai apabila ia dihabiskan -- bukan sebelum garisan penamat.

"Bagaimanapun, kami menangani kecederaan dengan baik pada masa ini dan kami berada dalam suasana pertandingan yang sebenar.

"Jika kami keletihan, kami tidak berasakannya. Kami mahu bermain dan menang, bukannya sekadar duduk di rumah sambil berharap seteru kami yang lain akan kalah.

"Itulah caranya perasaan anda sepatutnya apabila menjadi ahli sukan profesional."