DETIK manis kejayaan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, melangkah ke final Sukan Olimpik 2016, disaksikan seluruh rakyat Malaysia menerusi saluran Astro ARENA awal pagi tadi.

Namun tentunya bagi pengulas sukan, Ahmed Shahrazad Sani, menyaksikan saat-saat itu lebih bermakna apabila kedua-dua wira negara itu berkongsi kegembiraan mereka bersamanya.

Shahrazad yang berada di gelanggang sedang menunggu masa untuk menemubual Peng Soon dan Liu Ying, apabila Peng Soon datang dari belakang dan memeluk Shahrazad, tanda dia cukup gembira dan teruja dengan kejayaan yang ditempanya.

Video itu dimuat naik ke akaun Facebook dan YouTube Astro ARENA, dan menerima pelbagai reaksi rakyat Malaysia.



Majoritinya tentu sekali berkongsi rasa bangga, namun dalam masa yang sama sebak apabila kali pertama, sejarah tercipta buat Malaysia.

http://www.astroawani.com/berita-sukan/rio-2016-peng-soon-liu-ying-selangkah-lakar-sejarah-114138

Dalam temubual itu, Peng Soon dan Liu Ying turut berkongsi perasaan mereka sepanjang perlawanan berlangsung, dan menyifatkan ia bukan sahaja kemenangan dalam pertarungan fizikal, tetapi juga mental.

Mereka juga berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menonton perlawanan itu dan mendoakan kejayaan mereka.

Pasangan beregu itu akan bertemu pasangan Indonesia, Ahmad Tontowi-Liliyana Natsir, esok jam 11.30 malam.