PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa ia tidak akan berkompromi dengan gejala rasuah bola sepak dan komited untuk menanganinya.

Itu jaminan yang diberikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, berhubung penahanan dua pemain Sarawak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pertengahan minggu ini.

Bagi Yusoff, FAM yang diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim sentiasa komited dalam menangani gejala berkenaan.

Beliau enggan mengulas panjang mengenai penahanan dua pemain Sarawak berhubung dakwaan mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana di antara Sarawak dan Felcra FC minggu lalu kerana kes itu kini dalam siasatan SPRM.

Bagaimanapun, Yusoff memberi jaminan FAM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas pemain yang terbukti terbabit dengan gejala rasuah bola sepak.

"Saya fikir tindakan keras akan diambil ke atas mana-mana pemain yang mengatur perlawanan. Saya rasa kami tidak akan berkompromi kerana ini menjadi salah satu perkara utama yang ditekankan oleh baginda (Tunku Ismail) sewaktu mula menerajui FAM," katanya.

Yusoff juga menyarankan pengurusan setiap pasukan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) memantau gaya kehidupan pemain.

Bagi bekas pengendali kebangsaan B. Sathianathan, tahap permainan seseorang pemain tidak boleh turun mendadak dalam satu perlawanan dan kembali meningkat dalam perlawanan seterusnya.

Jika itu berlaku, Sathianathan berasakan terdapat kemungkinan seseorang itu mungkin terbabit dengan gejala rasuah.

Lantaran itu, beliau menyarankan setiap jurulatih memantau dengan rapat prestasi pemain kerana jika terdapat perkara yang mencurigakan, pengendali pasukan adalah orang pertama yang mampu mengesannya.

"Kalau di luar prestasi sebenar, selalunya dalam empat, lima perlawanan. Kamu (jurulatih) lebih arif mengenai pemain kerana setiap hari berlatih dengan mereka. Jurulatih perlu perhatikan," katanya.