Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan imbuhan sebanyak RM50,000 kepada Mohd Faiz Subri atas kejayaannya memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland, Isnin lepas.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri amat berbangga dan gembira dengan pencapaian pemain tengah Pulau Pinang itu di peringkat antarabangsa.

"Ini kali pertama saya duduk semeja dengan pemenang Anugerah Puskas dan saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan memberi RM50,000 sebagai hadiah atas kejayaan Mohd Faiz," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Faiz yang ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini, berkata tumpuannya kini adalah untuk membantu pasukan Pulau Pinang dalam saingan Liga Super 2017.

Mohd Faiz berkata beliau akan lebih fokus terhadap latihan bersama pasukan Pulau Pinang agar dapat menampilkan prestasi terbaik dalam kempen Liga Super musim ini.

"Selepas ini, saya berharap dapat membantu Pulau Pinang dalam saingan Liga Super dan jika ada rezeki saya mahu menyarung jersi kebangsaan," katanya yang berazam untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan Pulau Pinang musim ini.

Jaringan menarik Mohd Faiz menerima undian sebanyak 59.46 peratus, sekali gus mengalahkan dua lagi calon - Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang mendapat 22.86 peratus dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela iaitu 10.01 peratus.

Mohd Faiz melakar jaringan cantik menerusi sepakan percuma ketika Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 16 Feb tahun lepas.

Terdahulu, hampir 500 penyokong termasuk anggota keluarga Mohd Faiz menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. -- Bernama