Menjelang Kejohanan Ragbi Asia Premier (ARC 2018), skuad ragbi negara diperkuat dengan kehadiran beberapa pemain naturalisasi.

Menurut Pengurus Pasukan, Rahimi Muhd Yusof, skuad ragbi negara sudah menggunakan pemain naturalisasi sejak 10 tahun lepas.

“Tetapi, bagi tahun ini, pemain naturalisasi sedia ada lebih komited dan berdedikasi dengan pasukan negara,” jelasnya.

Bagi ARC Premier 2018, tujuh pemain dari Fiji dan seorang dari Samoa akan mewakili skuad kebangsaan.

Semua pemain ini sudah bermain di tanah air lebih daripada tiga tahun dan disebabkan itu mereka layak untuk mewakili skuad negara.

BACA: Demi lencana didada, skuad Bunga Raya tidak gentar pasukan lawan

BACA: Tiga latihan mampu ubah persembahan skuad ragbi negara


Menurut Pengurus Besar Kesatuan Ragbi Malaysia, Muhd Mazuri Salehuddin, pengalaman yang pernah diperolehi pemain naturalisasi mampu membantu pasukan.

“Pemain naturalisasi akan memberi impak kepada pasukan kerana mereka mempunyai pengalaman bermain dalam peringkat tertinggi di persada antarabangsa,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, kehadiran ramai pemain naturalisasi dalam pasukan memberi kesan positif kepada pemain tempatan untuk berdepan pasukan lawan yang mempunyai saiz fizikal lebih besar.

Bermula 24 April hingga 2 Jun tahun ini, Malaysia akan berdepan Korea Selatan dan Hong Kong dalam Kejohanan Ragbi Asia Premier (ARC 2018).