ANDA menonton perlawanan akhir kumpulan B Piala Dunia Rusia 2018 pagi tadi?

Perlawanan itu menjadi bualan hangat di seluruh dunia apabila penjaga gawang pasukan Iran, Alireza Beiranvand berjaya menepis sepakan penalti pemain sensasi pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo.

Kejayaan Beiranvand, 25, menyelamatkan maruah negara Iran mendapat perhatian media apabila seorang wartawan sukan di Sepanyol, Mootaz Chehade menyatakan bahawa penjaga gol tersebut pernah menjadi seorang gelandangan.

Chehade pernah menulis tentang perjalanan hidup Beiranvand yang terpaksa melalui pelbagai cabaran untuk menjadi seorang pemain bola sepak antarabangsa dan terkenal.

Menerusi entri di akaun Twitternya @MHChehade, Chehade menulis bahawa Beiranvand pernah melarikan diri dari rumah semasa kanak-kanak kerana impiannya menjadi pemain bola sepak dihalang oleh keluarga.


Sementara itu, portal The Guardian dalam laporannya menyebut bahawa Beiranvand membesar tanpa tempat tinggal tetap dan memilih untuk berteduh di bahagian luar stadium pasukannya menjalani latihan.

Bagi menyara hidupnya, Beiranvand bekerja di kilang pakaian, menjadi tukang cuci kereta dan pembersih jalan sebelum berjaya mencapai impiannya.

"Saya tidur di depan pintu stadium dan ketika saya bangun pada waktu pagi, ada duit syiling berhampiran kerana mereka sangka saya pengemis," tambahnya.

Minatnya pada sukan bola sepak mula disemai sejak kecil di mana pada awalnya Beiranvand bermula di posisi penyerang.

Perubahan posisi berlaku selepas dia menggantikan penjaga gol pasukan yang mengalami kecederaan.

BACA: Ronaldo gagal sempurna penalti, Portugal hampir gigit jari (Portugal 1-1 Iran)

Pada Selasa, Iran ketinggalan 0-1 apabila Portugal dihadiahkan tendangan penalti dalam perlawanan yang menentukan hidup mati pasukan itu.

Sepakan Ronaldo ke kanan gol ditepis Beiranvand yang kemudiannya menerkam dan mendakap bola itu ke dadanya.

Perlawanan Iran-Portugal berakhir dengan keputusan seri 1-1.