Kerajaan Perak menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) menyerahkan pampasan insurans berjumlah RM40,710 kepada Chong Choi Kim iaitu ibu kepada gimnas negeri, mendiang Lim Wei Yao di rumahnya di Taman Long Jaafar di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata pampasan insurans itu sebagai tanda simpati kerajaan negeri terhadap mendiang yang meninggal dunia semasa menjalani latihan gimnastik.

"Pampasan insurans ini dapat meringankan beban anggota keluarga mangsa yang kehilangan anak," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan.

Wei Yao meninggal dunia setelah terjatuh ketika menjalani latihan gimnastik di Dewan Gimnastik Artistik di Sekolah Kebangsaan King Edward VII (2) di sini, 6 Mei, tahun lepas.

Ekoran kejadian itu, mendiang yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ridwan di sini, mengalami kecederaan di bahagian belakang leher dan meninggal dunia di Hospital Taiping pada hari yang sama.

Sementara itu, ibu mendiang, Chong, 45, berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian wang itu dan akan menggunakannya untuk membiayai persekolahan anak-anaknya yang masih bersekolah.

Beliau berkata mendiang yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik meminati sukan gimnastik sejak berumur 12 tahun.

"Anak saya suka tolong keluarga dan saya reda dengan kejadian itu dan menganggap ia sebagai takdir," katanya.

Jurulatih gimnastik negeri, Jasrizal Saad pula berkata mendiang seorang yang rajin ketika menjalani latihan dan mempunyai bakat dalam gimnastik.

"Dia mula menjalani latihan gimnastik sejak 2008 dan pernah mewakili negeri di beberapa kejohanan termasuk kejohanan gimnastik Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Pahang pada 2014," katanya.

-- BERNAMA