Pengendali Kedah dari Sepanyol, Ramon Marcote akan membuat analisa terbaik terhadap pasukan pada ujian perlawanan persahabatan bertemu kelab dari Thailand, Suphanburi FC yang dijadual berlangsung malam ini.

Bagi Marcote, keputusan malam ini bukan menjadi keutamaan beliau, sebaliknya mahu melihat keserasian pemain muda dan senior serta dua pemain import baharu Kedah, Alvaro dan Pablo Pallares berganding bersama Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva sebelum menjelang sepak mula Liga Malaysia 2018 bermula 3 Feb ini.

"Menang atau kalah tidak penting, yang penting keputusannya dan paling penting adalah persediaan pasukan, kami akan memberikan perlawanan terbaik. Suphanburi mempunyai ramai pemain terbaik, ia agak sukar," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena pra-perlawanan Kedah bertemu Suphanburi FC di sini, malam tadi.

Marcote berkata, pertemuan itu menyaksikan beberapa pemain bakal digandingkan bersama bagi menilai keserasian mereka dan melakukan percaturan terbaik untuk pasukan yang akan berdepan musim yang semakin mencabar.

Bagi beliau, pertemuan dengan sebuah kelab dari Liga 1 Thailand ini sangat berbaloi kerana Kedah akan menunjukan kemampuan yang dimiliki dan ia baik untuk kedua-dua pasukan menguji kekuatan masing-masing.

Sementara itu, ketua jurulatih pasukan Suphanburi FC, Adebayo Gbadebo menyifatkan Kedah sebagai sebuah pasukan yang kuat dan perlawanan persahabatan ini memberi faedah kepada kedua-dua pasukan sebelum saingan bermula pada Februari ini.

Perlawanan di antara Kedah dan Suphanburi FC dijangka berlangsung 9 malam ini di Stadium Darulaman di sini.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket perlawanan berharga RM10 untuk ruang terbuka dan berbumbung manakala RM20 untuk tempat duduk di Astaka Utama yang akan mula dijual di kaunter tiket petang ini. -- Bernama