Belum sempat bermula perlumbaan MotoE yang julung kali diadakan tahun ini, semua motosikal elektrik yang sedang menjalani ujian di Litar Jerez, Sepanyol, musnah akibat kebakaran yang berlaku di padok tempat menyimpan jentera-jentera tersebut.

Kesemua 18 motosikal tersebut yang menjalani ujian pertama pra-musim untuk tahun ini pada Rabu, rentung dalam kejadian lewat malam Khamis, sekitar 12:15 malam itu.

Menurut penganjur, Dorna, punca kebakaran masih dalam siasatan, yang melibatkan padok khas dibina untuk motosikal-motosikal elektrik yang terlibat dalam perlumbaan FIM Enel MotoE World Cup itu.

Perlumbaan MotoE dilancarkan tahun lepas sebagai perlumbaan sokongan kategori MotoGP yang lebih singkat, iaitu 10 pusingan pada setiap kalendar perlumbaan pada tahun ini.

Badan tadbir perlumbaan MotoE, Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dalam kenyataan yang dikeluarkan mengenai kejadian malang, tetap yakin perlumbaan dapat dijalankan dan kejadian tersebut akan menjadi pemangkin semangat dan juga motivasi untuk menjayakan perlumbaan tersebut.

Perlumbaan MotoE melibatkan 12 pasukan termasuk pasukan tempatan, SIC Racing, Tech3, Pramac, LCR, Avintia dan Gresini.

Pelumba terkenal yang terlibat dalam perlumbaan itu termasuk Bradley Smith, Sete Gibernau dan Zavier Simeon.

Musim perlumbaan MotoE dijadual bermula pada 3-5 Mei semasa Grand Prix Sepanyol di Jerez.

Pada ujian pertama di Jerez, Eric Granado dari pasukan Avintia Esponsorama Racing mencatat masa terpantas, 1 minit 48.984 saat pada sesi kedua.