Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mendapatkan penjelasan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung dakwaan dua pemain badminton negara dilaporkan berdepan masalah hutang yang serius dengan 'ah long' kerana terbabit dengan judi bola sepak.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau tidak boleh membuat ulasan lanjut berhubung isu berkenaan selagi tidak memperolehi maklumat lengkap daripada BAM.

"Kalau perkara ini haram, tidak dibenarkan dan melanggar peraturan yang telah termaktub dalam BAM, jadi ia satu isu serius yang perlu dikendalikan dengan sebaik mungkin (oleh pihak terlibat)," katanya kepada pemberita di Menara KBS, di sini, hari ini.

Sebuah laman web sukan tempatan hari ini mendedahkan dua pemain tersebut dipercayai gagal melunaskan hutang dengan lintah darah yang dikatakan mencecah sehingga ratusan ribu ringgit kerana terlibat dengan judi bola sepak.

Susulan kes berkenaan, BAM dilaporkan telah memanggil kedua-dua pemain berkenaan, yang tidak dinyatakan namanya, untuk memberi keterangan lanjut kepada badan induk itu.

Dalam pada itu, Syed Saddiq percaya penubuhan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Badminton diharap dapat memperkukuhkan jalinan kerjasama antara BAM dengan kelab-kelab swasta di negara ini dalam melahirkan lebih ramai pemain baharu yang berbakat di negara ini.

Beliau pada masa sama yakin jawatankuasa berkenaan dapat mencari penyelesaian terbaik dalam mengembalikan semula kegemilangan sukan badminton negara ini.

Jawatankuasa berkenaan ditubuhkan hasil sesi 'townhall' KBS bersama BAM di Akademi Badminton Malaysia pada 14 Mac tahun ini.

Terdahulu, Syed Saddiq melancarkan perlumbaan 'The Great Malaysia Marathon' yang dijadualkan berlangsung pada 6 Okt ini di Persiaran Flora, Putrajaya, dengan sasaran penyertaan antara 2,000 hingga 3,000 peserta.

Kejohanan yang julung kalinya diadakan itu mempertandingkan empat kategori iaitu, marathon penuh (42km) dalam had tempoh tujuh jam, separuh marathon (21km) dalam tempoh empat jam, serta dua kategori lain iaitu 10km dan 5km.

Seorang peserta bertuah yang dipilih daripada kejohanan berkenaan, bakal membawa pulang sebuah kereta Volkswagen Polo 1.6L yang akan diumumkan pada siri terakhir perlumbaan berkenaan di Kuala Lumpur pada tahun depan.

Peserta yang berminat boleh mengisi borang secara dalam talian di laman sesawang kejohanan;www.thegreatmalaysiamarathon.com.

-- BERNAMA