LAPAN bulan telah berlalu sejak kali terakhir kita melihat aksi Conor McGregor bertarung di arena seni beli diri campuran (MMA).

Ada yang beranggapan McGregor tidak akan kembali beraksi dan ada juga yang tidak pasti sama ada McGregor akan kembali ke gelanggang Octagon atau tidak, termasuklah Presiden UFC sendiri, Dana White.

Namun bagi John Kavanagh, dia tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian.

Lebih dikenali sebagai Coach Kavanagh, dia merupakan individu yang bertanggungjawab melatih McGregor sejak awal penglibatannya dalam sukan MMA.

Kavanagh juga bertindak sebagai ketua jurulatih bagi kem McGregor.

BACA: McGregor tidak layak untuk 'rematch' dengan saya - Khabib

Bercakap semasa dijemput ke rancangan 'Ariel Helwani MMA Show', Kavanagh yakin dan percaya McGregor akan kembali bertarung dalam tahun ini juga.

Apabila ditanya siapakah lawan bagi McGregor jika dia diberi pilihan, Coach Kavanagh memilih Nate Diaz sebagai lawan untuk McGregor.

"Saya menyukai pertarungan trilogi bersama Diaz," kata Kavanagh. "Saya berkata sejak dari awal lagi, saya benar-benar ingin melihat bagaimana Nate bertarung dalam pertarungannya yang akan datang.

"Saya ingin melihatnya sebagai seorang peminat, pasti menarik."

Sebagai rekod, pertarungan terakhir Nate Diaz adalah pada Ogos 2016. Dia tewas kepada McGregor melalui keputusan sebulat suara juri.

Setelah hampir tiga tahun tidak bertarung, Diaz dijadualkan kembali ke gelanggang Octagon pada Ogos tahun ini.

Dia akan menentang Anthony Pettis pada acara UFC 241 yang akan berlangsung di Anaheim, California.

Selain Diaz, Kavanagh juga berminat untuk melihat McGregor bertemu dengan Justin Gaethje.

Katanya ia pasti akan menjadi pertarungan yang menarik.

Tambah Kavanagh lagi, McGregor memang bersemangat untuk kembali bertarung sejak awal tahun lagi.

Dan satu-satunya perkara yang menghalangnya untuk kembali bertarung adalah kecederaan tangan yang dialaminya pada Mei semasa sesi latihan.

Selain yakin McGregor akan kembali bertarung pada tahun ini, jurulatih berpengalaman luas itu juga yakin McGregor akan kembali menjadi juara UFC satu hari nanti.

McGregor merupakan petarung pertama UFC yang memegang dua gelaran dunia serentak selepas menewaskan Eddie Alvarez di Manhattan, New York pada 2016.

Kali terakhir dia bertarung ialah dengan jaguh Rusia, Khabib Nurmagomedov pada Oktober 2018, di mana dia tewas menerusi 'submission' pada minit 3.03 pusingan keempat.

Susulan kekecohan yang berlaku selepas perlawanan di UFC 229, McGregor dan Khabib kini telah didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).

McGregor didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.

Adakah McGregor akan kembali bertarung? Mampukah dia menjadi juara di UFC sekali lagi? Sama-sama kita tunggu dan lihat.