Mohammed “Jordan Boy” Mahmoud dan Jihin “Shadow Cat” Radzuan hampir minitiskan air mata di belakang pentas di Arena Axiata, Kuala Lumpur, pada Jumaat, 7 Disember lalu.

Selepas masing-masing melakar kemenangan di ONE: DESTINY OF CHAMPIONS, Lagenda Muay Thai, Yodsanklai IWE Fairtex, berehat sebentar daripada melakukan persiapan untuk perlawanan utamanya dan mengucapkan tahniah kepada dua anak tempatan itu atas persembahan yang bagus.

Tindakan itu mengejutkan Mohammed, yang tidak menyangka Juara Dunia Muay Thai itu sanggup berehat daripada latihan beliau dan meluangkan masa beberapa minit bersamanya.

“Saya sudah terlalu gembira ketika masuk ke dalam bilik dan sebaik saja melihat Fairtex menjadi orang pertama mengucapkan tahniah kepada saya, ia menunjukkan betapa hebatnya beliau.

“Saya rasa seperti mahu menangis kerana tidak menyangka akan mendapat penghormatan seperti itu daripada seorang juara,” akuinya.

“Malah sebelum perlawanan, saya hanya memerhatikan cara beliau berdepan situasi besar. Beliau kelihatan tenang, seolah-olah ia bukan malam perlawanan.”

Di awal persembahan, Mohammed, sempat bergambar dengan Yodsanklai, sebelum mengalahkan Stergos Mikkios pada pusingan pertama di perlawanan ONE Super Series Muay Thai bantamweight.

Malah, lagenda dari Thailand itu sempat memberikan beberapa kata nasihat kepadanya.

“Beliau bukan saja mengucapkan tahniah, namun turut memberikan saya beberapa tips untuk dipraktikkan pada perlawanan saya yang seterusnya,” tambah pemuda berusia 22 tahun itu.

"Sewaktu membesar, saya sering menonton perlawanannya, namun, ketika mengetahui beliau menonton persembahan saya, ia adalah sesuatu yang sukar dipercayai,” katanya.

Jihin yang mengalahkan Jenny “Lady GoGo” Huang dalam pertandingan seni mempertahankan diri kategori atomweight melalui keputusan sebulat suara, turut menyatakan sentimen yang sama.

Malah, Fairtex adalah salah seorang idola Muay Thainya ketika membesar.

“Sebaik saja mengetahui Fairtex akan menjadi utama perlawana ini, saya melonjak kegembiraan. Malah, untuk beliau datang dan mengucapkan tahniah selepas kemenangan saya, adalah saat yang sangat istimewa,” katanya.

“Semestinya sebagai seorang peminat, saya tidak lupa untuk bergambar bersama beliau.”

Seperti juga Mohammed, “Shadow Cat” turut mengakui turut memerhatikan cara Yodsanklai membuat persediaan bagi sesuatu perlawanan.

“Saya sedang bercakap dalam telefon, namun, sesekali saya tetap mememperhatikan beliau secara senyap kerana tidak mahu beliau mengetahui saya sedang memerhatikannya,” gurau Jihin.

Kedua-dua mereka menonton Yodsanklai melakar sejarah dengan mengambil bahagian dalam pertandingan pertama Muay Thai ONE Championship dengan mengalahkan Luis Regis dari Australia pada pusingan pertama.

Ketiga-tiga atlet akan meneruskan kemenangan mereka dengan mencatat lebih banyak kenangan dan kejayaan pada tahun 2019.