KAPTEN Chelsea, John Terry, kembali menjalani latihan setelah proses pemulihan kecederaan kakinya berjalan lancar.

Pertahanan veteran itu mengalami kecederaan ligamen kaki ketika seri 2-2 di Swansea City dan terlepas aksi berdepan Liverpool yang berkesudahan tewas 2-1.

Antonio Conte berkata skuadnya memerlukan kehadiran Terry di dalam kesebelasan utama pasukan walaupun dia dilihat akan direhatkan menjelang aksi Piala EFL berdepan Leicester City.

"Kami merindui cara Terry mengetuai pasukan ketika bertahan, ini merupakan perkara yang penting dalam bola sepak," jelas Conte.

Dalam pada itu, Conte menolak cadangan untuk menjual pemain tengah, Cesc Fabregas, pada Januari nanti dan menegaskan pemain kebangsaan Sepanyol itu masih mempunyai peranan yang penting bersama The Blues.

"Fabregas masih di dalam perancangan saya, dia merupakan pemain yang berkualiti dan kami tidak mahu melepaskannya."