Atlet muda seni beladiri campuran (MMA) negara Hayatun Najihin Radzuan berjaya memenangi pertarungan sulungnya di kejohanan ONE Championship, di ibu negara malam tadi selepas menewaskan petarung dari India, Puja Tomar.

Hayatun Najihin atau Jihin memaksa lawannya menyerah kalah selepas melakukan 'submission' pada pusingan kedua perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu.

Peninju berusia 19 tahun itu mengakui menghadapi sedikit cabaran daripada pesaingnya sewaktu berbalas tumbukan pada awal pusingan, namun berjaya mengatasinya apabila dia membawa lawannya itu ke lantai.

Semasa di pusingan kedua, Jihin dilihat dapat mengawal rentak perlawanan dan memaksa pesaingnya menyerah kalah pada minit ke 2:23 pertarungan menerusi kuncian tiga segi (triangle choke).

Jihin, ketika ditemui Astro AWANI berkata, dia gembira dapat berlawan dalam pertarungan tersebut meskipun ia tidak berlaku seperti yang dirancang.

"Jihin tahu nak buat apa, tapi macam kaku. Saya tidak rasa gementar sepanjang perlawanan, saya cuma gementar waktu hendak turun (untuk berlawan) sahaja.

“Ini kali pertama berlawan dalam sangkar, sebelum ini berlawan dalam gelanggang... rasa terkejut sikit sebab ini kali pertama. Tetapi saya boleh kawal,” kata bekas juara Malaysian Invasion (MIMMA) tu.

Jihin turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyokongnya terutama jurulatihnya, Melvin Yeoh, yang juga merupakan seorang veteran dalam MMA.

“Terima kasih rakan sepasukan, sokongan keluarga yang tidak boleh diiungkap dengan kata-kata dan ramai yang beri pengorbanan untuk perlawanan kali ini... terutamanya Melvin Yeoh, jurulatih yang banyak membantu dalam latihan,” kata Jihin, sambil menghadiahkan kemenangan ini kepada mereka.

Turut menjadi perhatian penonton malam tadi ialah petarungan di antara Agilan Thani dengan Amitesh Chaubey yang juga dari India.

Agilan, 22 tahun, dengan tenang menundukkan lawannya menerusi 'submission' pada pusingan kedua.

Perlawan kedua utama itu memberi satu pertunjukkan yang menakjubkan seawal pusingan pertama selepas Agilan berjaya menghentak lawan ke lantai.

Atlet yang mendapat sorakan gemuruh dari penonton ini kemudiannya sekali lagi menghumban lawannya dan memaksa pesaingnya itu menyerah kalah melalui kuncian tangan pada pusingan kedua.

Seorang lagi atlet negara yang semakin melakar nama di arena ini, Muhammad Aiman, turut berbangga selepas berjaya mencatat kemenangan di hadapan penonton Malaysia.

Aiman, 23 tahun, berjaya memenangi pertarungannya memenerusi keputusan sebulat suara tiga juri selepas mengasak lawannya di lantai dengan tumbukan bertubi-tubi dalam perlawanan tiga pusingan itu.

Gianni Subba atlet Malaysia berusia 25 tahun yang mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan dan berjaya memberi pertarungan yang sengit kepada lawannya Reece McLaren bagaimanapun tewas pada pusingan kedua dengan kuncian tiga segi.

Berikut adalah keputusan penuh ONE: VISIONS OF VICTORY

Acara flyweight: Reece McLaren tewaskan Gianni Subba menerusi submission pada minit 3:12 pusingan 2

Acara welterweight: Agilan Thani tewaskan Amitesh Chaubey menerusi submission pada minit 1:04 pusingan 2

Acara featherweight: Christian Lee tewaskan Kazunori Yokota menerusi submission pada minit 4:34 pusingan 2

Acara catchweight (63.0kg): Danny Kingad tewaskan Sotir Kichukov menerusi keputusan pengadil selepas pusingan 3

Acara welterweight: Luis Santos tewaskan Kiamrian Abbasov menerusi keputusan pengadil selepas pusingan 3

Acara catchweight wanita (60.0kg): Michelle Nicolini tewaskan Iryna Kyselova menerusi submission pada minit 2:26 pusingan 1

Acara catchweight (72.3kg): Ma Jia Wen tewaskan Ahmed Mujtaba menerusi submission pada minit 2:38 pusingan 2

Acara bantamweight: Muhammad Aiman tewaskan Rin Saroth menerusi keputusan pengadil selepas pusingan 3

Acara atomweight wanita: Jihin Radzuan tewaskan Puja Tomar menerusi submission pada minit 2:23 pusingan 2

Acara catchweight (62.5kg): Khon Sichan tewaskan Riski Umar menerusi keputusan pengadil selepas pusingan 3