Tiga atlet seni bela diri campuran (MMA) negara disahkan akan beraksi dalam acara ONE Championship, apabila ia kembali menggegarkan ibu negara pada 6 Disember nanti.

Jihin Radzuan, Agilan Thani dan Muhammad Aiman bakal bertarung dalam aksi ONE: Mark Of Greatness yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Jihin akan berdepan petarung Filipina, Denice Zamboang; Agilan akan berdepan Mohammad Karaki dari Lubnan, manakala Aiman pula dijadualkan berdepan petarung dari China, Chen Rui.

Acara ONE: Mark Of Greatness itu juga akan menyaksikan dua pertandingan kejuaraan untuk 'main event' dan 'co-main event'.

Alaverdi Ramazanov dari Rusia akan bertemu Zhang Chenglong dari China untuk Kejuaraan Dunia ONE Bantamweight Kickboxing.

Sementara itu, dalam 'co-main event' pula, Sam-A Gaiyanghadao dari Thailand akan bertarung dengan Wang Junguang yang juga China untuk kejuaraan Dunia ONE Strawweight Kickboxing.

Ini merupakan acara kedua ONE Championship di KL untuk tahun ini selepas acara pertamanya, ONE: Masters Of Destiny pada Julai lalu.

Dalam acara tersebut, Jihin telah melakar kejayaan dengan menundukkan lawannya Jomary Torres dari Filipina menerusi kuncian 'triangle choke' pada pusingan pertama.