Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil tindakan undang-undang terhadap Telekom Malaysia (TM), demikian satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu, pada Khamis.

MFL mendedahkan mereka telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan pelanggaran kontrak penajaan oleh syarikat telekomunikasi tersebut ekoran gagal melunaskan pembayaran hak penajaan dan penyiaran untuk 2019.

Dalam sidang media Jumaat lalu, MFL secara rasmi mengumumkan penamatan kontrak penajaan dengan TM selepas mencapai kata sepakat dalam satu Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah di Hotel Thistle, Johor Bahru.

TM kemudian menyiarkan satu kenyataan rasmi bagi mengumumkan mereka bukan lagi penaja Liga-M, bermula tahun ini selain menafikan mereka gagal melaksanakan apa yang terkandung dalam kontrak.

Mereka sebaliknya mendakwa kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan bersama berkenaan asas komersial.

Susulan itu, MFL mendedahkankan tindakan undang-undang diambil terhadap TM melalui pemfailan saman demi melindungi kepentingan pasukan-pasukan bertanding dalam Liga-M.

MFL menerusi kenyataan media yang diterbitkan dalam laman Facebook rasmi mereka itu dipetik sebagai berkata: “Tempoh kontrak penajaan yang telah ditandatangani oleh kami dan TM adalah untuk tempoh lapan tahun bermula dari Januari 2018 hingga 2025.

"Terma dan syarat ini telah dipersetujui dan dimeterai bersama pada Januari 2018 dan satu kenyataan bersama MFL yang ketika itu dikenali sebagai FMLLP dan TM bertarikh 1 Februari 2018 bertajuk ‘Unifi menyatukan rakyat Malaysia melalui bolasepak’ dikeluarkan sebagai tanda kolaborasi bagi menaja Liga Malaysia.

"Malangnya, TM selepas itu telah mencadangkan terma-terma baru, termasuk perubahan kepada terma asas yang telah dipersetujui dan ditandatangani bersama.

"Antara terma yang mahu dimasukkan TM adalah perubahan yang jelas bercanggah dengan persetujuan bersama sebelum ini dan akan menjadikan perjanjian di antara MFL dan TM tidak stabil dan tidak adil.

"Oleh itu, ia tidak mungkin boleh dipersetujui oleh kami kerana ia dilihat sebagai cara TM untuk membebaskan diri daripada tanggungjawab mereka di bawah syarat yang telah dipersetujui dan ditandatangani.

"Proses ini telah mengambil masa yang panjang dan pihak MFL telah mencuba sedaya-upaya untuk membantu mencari jalan tengah dalam perkara ini, termasuk bersedia meminda sedikit syarat yang telah dipersetujui dan ditandatangani bagi membantu pihak TM.

"TM kemudian enggan menjalankan sebarang rundingan untuk mencari penyelesaian dan juga tidak mahu meluangkan masa mengadakan perbincangan lanjut bagi menyelesaikan isu ini apabila dijemput pihak MFL walaupun ada representasi sebaliknya daripada pengurusan TM ketika itu telah dipersembahkan kepada kepimpinan MFL.

"Perlu dinyatakan dengan jelas bahawa pihak MFL tidak pernah menegaskan perubahan syarat yang telah dipersetujui dan perubahan yang tidak dapat diterima adalah perubahan atau syarat baru yang ditegaskan oleh pihak TM.

"Justeru, kami terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap TM bagi melindungi hak pasukan-pasukan bertanding dalam Liga-M serta memelihara kepentingan bola sepak negara.

"Jumlah yang dituntut oleh kami terhadap TM di bawah kontrak penajaan bersama adalah melebihi RM400 juta dan saman tersebut juga telah disampaikan kepada peguamcara TM pada hari ini (21 Mac).

"Memandangkan perkara ini telah dirujuk kepada proses undang-undang, kami tidak akan memberikan sebarang komen lanjut terhadap perkara ini dan menyerahkan pertikaian ini untuk diputuskan di mahkamah.”