PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengalu-alukan mana-mana pasukan yang mahu menarik diri kerana disaman akibat gagal melengkapkan dokumen pendaftaran untuk Liga Malaysia musim ini.

Presidennya Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar sesetengah pasukan yang mengancam untuk menarik diri agar mereka berbuat demikian tanpa melengahkan masa.

"Ada yang ugut hendak tarik diri, saya nasihatkan kepada mereka, sila tarik diri. Kalau semua benda nak percuma, sampai bila?

"Dulu satu sen pun tak dapat, boleh pula hidup... Nak kena denda RM500,000 disebabkan tidak ada dokumen lengkap terus nak ugut tarik diri. Silakan tarik diri dan jangan buang masa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Hotel Pheonix, di Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) menyuarakan hasrat untuk menarik diri kerana tidak mampu membayar denda RM500,000 yang dikenakan terhadap pasukan itu.

Tunku Ismail menjelaskan, pasukan yang dikenakan denda boleh membuat rayuan dan akan dipertimbangkan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

"Denda tetap kena denda malah pasukan yang kena denda ada masa untuk membuat rayuan dan kami akan pertimbangkan. Tunggu sahaja kerana denda yang dikenakan mungkin akan lagi kurang.

"Baru-baru ini ada kes yang mana laporan sudah lengkap tetapi bendahari tidak hantar. Itu bukan salah saya dan ia menunjukkan betapa kelemahan pengurusan pasukan dan pastinya sukar untuk menguruskan kelab atau persatuan negeri," katanya.

Tambahnya, sebagai permulaan FAM akan menyalurkan wang berjumlah RM3 juta pada Rabu ini kepada setiap pasukan yang bersaing dalam Liga Super manakala RM1 juta kepada pasukan Liga Perdana.