JUPP Heynckes menjanjikan aksi yang berbeza daripada Bayern Munich dalam aksi final DFB-Pokal apabila gagal melakar kemenangan dalam aksi terakhir Bundesliga berdepan Stuttgart.

Sambutan kemenangan Bayern dijalankan selepas tamat perlawanan di Allianz Arena tetapi ia telah dicemari terlebih dahulu apabila tewas 4-1 kepada Stuttgart.

Corentin Tolisso menyamakan kedudukan selepas Daniel Ginczek menjaringkan gol pembukaan buat pelawat tetapi Anastasios Donis memastikan penghuni tangga ketujuh liga kembali mendahului perlawanan sejurus babak kedua bermula.

Chadrac Akolo menemui sasaran dan Ginczek meledak gol kedua dalam tempoh tujuh minit perlawanan, sekaligus memastikan mereka layak ke saingan Liga Europa (UEL) jika Bayern menewaskan Eintracht Frankfurt di Berlin, minggu depan.

"Tahniah kepada Stuttgart. Mereka bermain dengan baik, melancarkan serangan balas yang efektif dan memenangi perlawanan," kata Heynckes.

"Stuttgart turut cemerlang ketika bertahan. Perlawanan agak seimbang pada awalnya sebelum kami gagal mengekang kemaraan mereka.

"Di Berlin nanti, kami akan menampilkan persembahan yang berbeza dan lebih baik berbanding hari ini."