HARIMAU MALAYA mendaki dua anak tangga untuk perbaharui kedudukan dalam ranking Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di posisi ke-167 setakat November.

Kemas kini terbaharu laman web badan induk bola sepak dunia di www.fifa.com memaparkan Malaysia mengumpul 984 mata, dan peningkatan itu susulan kemenangan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan antarabangsa bulan ini.

Kedudukan itu meletakkan Malaysia di atas Kemboja (172), namun masih di bawah Singapura (165), Nepal (162), Indonesia (160) dan jauh untuk mengejar Myanmar (139), Thailand (118), Filipina (114) dan Vietnam di tangga ke-100 dunia dalam kalangan negara rantau Asia Tenggara.

Juara tiga kali Piala Asia, Iran, kekal teratas dalam kelompok 46 negara Asia yang disenarai FIFA apabila naik satu anak tangga ke kedudukan ke-29, diikuti Australia (41), Jepun (50) dan Korea Selatan (53).

Berada di persada carta masih lagi Belgium dengan 1,727 mata, diikuti juara dunia 1998 dan 2018 Perancis yang hanya kurang satu mata daripada Belgium.

Sementara pasukan paling popular, juara dunia lima kali, Brazil pula kekal di tangga ketiga dengan 1,676 mata.