Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan masa sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum pasukan bola sepak negara bangkit semula memberi saingan di peringkat antarabangsa, kata menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata tempoh masa itu difikirkan bersesuaian memandangkan ramai pemain pelapis berusia antara tujuh hingga 17 tahun masih dalam tempoh latihan intensif dan pendedahan jangka panjang melalui program seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

"NFDP mempunyai 21,000 pemain...saya jangkakan 10 tahun lagi sebelum kita dapat menyaksikan kebangkitan semula pasukan negara," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Pembekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi KBS, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

BACA: Ranking FIFA Harimau Malaya jatuh lagi

Mengenai gejala radikalisme dalam kalangan belia, Khairy berkata isu tersebut harus ditangani menerusi kerjasama KBS, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Pendidikan melalui Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan RUU Pembekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu selepas dibahaskan empat Anggota Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung semula Isnin ini.

-- BERNAMA