SEJARAH hari ini tercipta apabila atlet MMA dari China, Zhang Weili muncul sebagai juara dunia strawweight UFC selepas menundukkan Jessica Andrade dari Brazil.

Acara UFC Fight Night 157 yang berlangsung di Shenzhen itu menyaksikan Zhang, 30 tahun menumpaskan Andrade menerusi KO/TKO pada pusingan pertama.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan Zhang atlet pertama dari Asia yang berjaya meraih kejuaraan dunia di UFC.

Ia selain itu melebarkan rekod profesionalnya kepada 20 kemenangan berturut-turut, dengan hanya satu kekalahan.

Zhang dalam temubual ringkasnya dengan Astro AWANI sebelum ini berkata, dia mahu membuktikan bahawa orang Asia juga hebat dalam MMA dengan memenangi kejuaraan tersebut.

BACA: Rebut kejuaraan UFC, Zhang mahu buktikan wanita Asia juga kuat

Jelasnya, dia ingin memecah tanggapan bahawa orang-orang Asia terutama kaum wanitanya lemah.

Ini merupakan kali pertama petarung dari China bertarung dalam perlawanan merebut kejuaraan dunia.