Bekas juara All England 2003 Mohd. Hafiz Hashim berada dalam dilema sama ada mahu mengambil alih jawatan ketua jurulatih Scotland ataupun menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai pengilap bakat di Sekolah Sukan Bukit Jalil (BJSS).

Menurut laporan, Hafiz, 33, ditemui pengurus projek BJSS Kwan Yoke Meng mengenai jawatan kejurulatihan di Stadium Juara, Bukit Kiara namun berada di landasan tepat untuk menjadi jurulatih negara kedua untuk mengendalikan skuad badminton negara asing selepas A. Thanabalan dilantik ketua jurulatih New Zealand pada tahun 2010-2012.

Yoke Meng akan berbincang perancangan seterusnya bersama pengarah teknikal BAM, Morten Frost.

Bagaimanapun, BAM telah mengambil keputusan untuk menangguhkan sebarang tawaran untuk memberi peluang kepada Hafiz membuat keputusan demi kebaikan kariernya dalam kejurulatihan sekali gus memberi masa kepada Yoke Meng untuk membincangkan perkara tersebut bersama pengarah teknikal, Morten Frost.

Hafiz bakal menjalankan sesi temu bual kedua bersama badan induk Scotland di Glasgow esok setelah melepasi sesi pertama bulan lepas.