CARLO Ancelotti menyifatkan Pep Guardiola sebagai seorang "genius" -- di sebalik mengakui prestasi Manchester City semakin menurun sejak musim lalu -- ketika beliau dan Everton membuat persiapan menghadapi aksi di Stadium Etihad.

Bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid,Ancelotti, menyaksikan kedua-dua kemenangan The Toffees sejak mengambil alih tugas pengendali sementara, Duncan Ferguson, tetapi beliau menjelaskan bertemu juara bertahan pada Hari Tahun Baru satu ujian getir.

City yang kini di tangga ketiga ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool selepas mengalami dua kekalahan dalam lima perlawanan terakhir tetapi Ancelotti tetap melihat Guardiola sebagai seorang pakar bola sepak.

"Guardiola seorang pengurus yang hebat," kata Ancelotti.

"Saya memiliki hubungan yang baik dengannya.

"Kadang kala kami bertemu, bukan dalam perlawanan tetapi beberapa sidang yang diadakan di Itali. Saya memiliki hubungan baik dengannya dan menghormatinya sebagai seorang pengurus yang berkualiti.

"Beliau seorang genius kerana sentiasa cuba untuk melakukan perkara yang istimewa di atas padang.

"City mungkin tidak berada di tahap yang sama seperti tahun lalu tetapi mereka kekal sebagai pasukan yang berbisa dengan kehadiran pemain dan pengurus yang berkualiti. Sukar buat kami untuk bersaing dengan mereka tetapi Everton memerlukan keyakinan serta tumpuan dalam permainan kami.

"Berdepan City adalah ujian buat kami kerana mereka pasukan yang kuat tetapi kami memiliki keyakinan untuk melakukan yang terbaik. Kami harus bergembira berdepan salah satu pasukan terbaik England dan Eropah."

Everton mengatasi Burnley 1-0 di Goodison Park kemudian menang 2-1 di Newcastle United, dengan Dominic Calvert-Lewin menjaringkan ketiga-tiga gol The Toffees di bawah kendalian pengurus kelahiran Itali itu.

Ditanya sama ada bakal memperkuatkan lagi pasukan dalam jendela perpindahan Januari, Ancelotti berkata beliau mahu menunggu sehingga tamat aksi Piala FA berdepan Liverpool Ahad ini sebelum bercakap dengan pihak kelab.

"Jendela masih belum dibuka," katanya.

"Tedapat banyak khabar angin, ia perkara biasa. Perkara ini berlaku di seluruh dunia. Sama juga di Itali.

"Selepas tamat aksi Piala FA, saya akan bertemu dengan kelab dan membincangkan bagaimana untuk mempertingkatkan lagi mutu pasukan. Pada pandangan saya, ini merupakan skuad yang berkualiti."