Beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie melangkah penuh bergaya ke separuh akhir selepas mengejutkan pasangan dari China Wang Yilyu-Huang Dongping pada kejohanan badminton All England 2019, pada Jumaat.

Walaupun lawan mereka berada di ranking kedua dunia, pasangan negara itu dilihat tidak tertekan sebaliknya mempamerkan semangat juang tinggi meskipun Goh berdepan kesakitan di bahu kanan ketika di set penentuan.

Pada aksi suku akhir berlangsung lebih sejam di Arena Birmingham itu, gandingan negara yang berada di ranking ke-14 dunia, tewas set pertama 13-21, namun bangkit menguasai set kedua dengan kemenangan 22-20.

Pada kedudukan pasangan Malaysia mendahului 7-6 pada set penentuan, rentak permainan Goh sedikit perlahan apabila beliau mengalami kesakitan di bahu kanan, namun mampu bertahan sehingga menamatkan permainan dengan kemenangan 21-18.

"Kecederaan dialami Soon Huat tidak serius. Secara keseluruhan kami beraksi dengan baik hari ini... memberikan tentangan sengit dan menampilkan aksi terbaik," kata Shevon ketika dihubungi.

Pasangan negara bakal berdepan juara bertahan yang menduduki ranking ketiga dunia dari Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashino pada perlawanan separuh akhir pada Sabtu.

Shevon berkata ini merupakan pertemuan pertama mereka dan pastinya pasangan negara akan melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi satu lagi lawan sukar untuk mara ke final kejohanan badminton berprestij itu.

"Ini bakal menjadi pertemuan pertama kami. Sangat teruja dan kita perlu melakukan persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan esok (Sabtu)," katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, pasangan Jepun yang berada di ranking ketiga dunia itu, mengetepikan gandingan baharu dari Indonesia Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow.

Pada perlawanan berlangsung selama 46 minit, gandingan Jepun itu terpaksa berhempas pulas sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan kemenangan 24-22, 21-19.

-- BERNAMA