BEKAS pemain pertahanan Manchester United, Gary Neville membuka hotel-hotel miliknya secara percuma kepada kakitangan hospital yang berada di barisan hadapan mengekang COVID-19.

Dua hotel di Manchester itu akan ditutup kepada orang awam supaya 176 katil dapat disediakan kepada kakitangan National Health Services (NHS) dan pengamal perubatan lain.

Menurut bekas kapten United itu menerusi satu video di Twitter, tiada seorang kakitangannya akan dipaksa mengambil cuti tanpa gaji.

“Kami berada pada detik ini yang memerlukan seluruh industri bersolidariti.

"Bukan sahaja buat pekerja kami sendiri dalam keadaan yang tidak menentu ini, malah mereka yang paling memerlukan tempat tinggal pada masa ini,” kata beliau.

Neville bersama bekas rakan sepasukan Ryan Giggs berkongsi pemilikan Stock Exchange Hotel di tengah bandar Manchester dan Hotel Football di Old Trafford.


Kedua-dua hotel akan ditutup pada Ahad dan dibuka semula kepada kakitangan hospital mulai Jumaat selepas diperiksa pihak berkuasa.

“Staf kami akan mengurus hotel seperti biasa supaya kakitangan sektor perubatan boleh menginap secara percuma sekiranya mereka perlu diasingkan daripada keluarga,” kata Neville.

Pada Isnin, Chelsea turut mengumumkan akan membuka hotel milik pasukan itu khusus buat kakitangan NHS.