PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan gandingan nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, akan dipisahkan susulan kemerosotan prestasi sepanjang tahun ini.

Mereka akan digandingkan dengan beregu kedua terbaik negara, sekaligus menyaksikan kombinasi Goh V Shem dengan Teo Ee Yi sementara Tan Wee Kiong bersama Ong Yew Sin.

Keserasian mereka akan diuji bermula dengan Siri Super Terbuka Perancis, hujung bulan depan.

"Mereka akan memerlukan masa untuk mendapatkan keserasian dan kami akan menilai persembahan mereka selepas dua kejohanan," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

BAM akur dalam membentuk pemain dan gandingan berstatus bintang, terbit keperluan untuk memiliki lebih ramai pemain dalam kelompok prestasi elit di pentas antarabangsa.

Kebergantungan kepada pemain seperti Datuk Lee Chong Wei sudah terbukti mengundang impak negatif kepada skuad negara.

"Kita mesti berusaha untuk melahirkan lebih ramai pemain yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.

"Sebelum ini, kita terlalu memberikan tumpuan kepada hanya satu individu dan ia harus diubah pada masa akan datang."