PHIL FODEN menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris ketika membantu Manchester City menewaskan Tottenham Hotspur 1-0 di Stadium Etihad, sebentar tadi.

Spurs menamatkan kempen City dalam Liga Juara-Juara Eropah menerusi kemenangan 4-3 di Stadium Etihad, Rabu lalu, namun mereka tidak berupaya untuk menghalang juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu daripada melunaskan misi membalas dendam.

Dalam aksi babak pertama yang penuh menghiburkan itu, hanya satu gol terhasil daripada deretan percubaan daripada kedua-dua pasukan dengan Foden -- yang melakukan penampilan keduanya dalam kesebelasan utama Liga Perdana -- membuka akaun jaringannya pada minit kelima walaupun City akan kehilangan Kevin De Bruyne ekoran kecederaan.

Spurs terkilan kerana tidak diberikan sepakan penalti dalam babak kedua selepas terbukti mampu memberikan waktu sukar buat City yang hanya meraih kemenangan tipis.

Kemenangan itu mengembalikan The Citizens ke puncak Liga Perdana bagi memintas Liverpool sebelum berkunjung ke Manchester United, Rabu depan.

Walaupun Spurs bermula baik menerusi percubaan Son Heung-min, City memperoleh kelebihan awal selepas Foden menanduk masuk bola susulan tandukan awal Sergio Aguero yang memanfaatkan hantaran lintang Bernardo Silva.

Spurs memberikan respons segera dengan Christian Eriksen menguji penjaga gol lawan, Ederson, manakala Aymeric Laporte melakukan pintasan saat akhir bagi menafikan percubaan Heung-min.

Bagaimanapun, corak serangan jitu yang dihasilkan City hampir memberikan mereka sepakan penalti apabila Jan Vertonghen menjatuhkan Silva pada minit ke-20.

City terus mengembangkan permainan mereka dalam babak pertama walaupun kehilangan De Bruyne, yang kelihatan seperti mengalami kecederaan lutut sebelum ke bilik persalinan.

Persaingan semakin rancak dalam babak berikutnya dengan City boleh menganggap mereka bernasib baik apabila bola kelihatan terkena tangan Kyle Walker ekoran lambungan Dele Alli.

Raheem Sterling sepatutnya menamatkan saingan lebih awal selepas menerima hantaran Leroy Sane, namun penjaga gol Spurs, Paulo Gazzaniga, sempat menghulurkan kaki kanannya bagi menafikan jaringan itu.

Kegagalan itu hampir menghukum City dengan Ederson dipaksa bekerja keras untuk menggagalkan percubaan Lucas Moura, namun juara bertahan itu kekal bertahan untuk menamatkan aksi penting itu dengan kemenangan.