SELEPAS bersara dari arena tinju, Floyd Mayweather kini bakal beralih pula kepada sukan seni beladiri campuran (MMA).

Perkara itu disahkan oleh Mayweather kepada portal TMZ pada Khamis, di mana dia dilaporkan akan dilatih oleh Tyron Woodley.

Mayweather, 41 tahun dari Amerika Syarikat itu bagaimanapun mengakui menghadapi sedikit kesukaran untuk melakukan peralihan.

"Ia mungkin sedikit sukar. Saya boleh bergusti, permainan gusti saya pun boleh tahan... 1 hingga 10, ia mungkin 7, dan boleh jadi juga 9," kata bekas juara dunia itu.

Dia juga meletakkan tahap tendangannnya, 4 daripada 10, namun meletakkan skil tumbukannya kepada tahap tertinggi iaitu 100.

Pada Disember tahun lalu, Mayweather menafikan akan bertarung dalam promosi MMA terbesar dunia, UFC.

BACA: Floyd Mayweather nafi akan bertarung di UFC

BACA: Conor McGregor umum akan kembali ke gelanggang MMA

TONTON: Floyd Mayweather atasi McGregor menerusi TKO

Desas desus penyertaan Mayweather ke UFC itu tersebar selepas beliau memuat naik sebuah video di media sosial yang mengatakan peluang kini terbuka untuknya bertarung beberapa perlawanan di 'octagon'.

Mayweather pada ketika itu memaklumkan, meskipun peluang itu ada namun beliau tidak berniat mengambilnya.

Selain Mayweather, bintang UFC, Conor McGregor turut mengumumkan akan kembali ke gelanggang MMA, selepas gagal mempamerkan aksi cemerlang dalam arena tinju.

Mayweather, pada Ogos tahun lepas, berjaya menewaskan Mcgregor menerusi keputusan Knockout Teknikal (TKO) pada pusingan kesepuluh.

Pertembungan di T-Mobile Arena, Las Vegas meletakkan Mayweather melebarkan rekod kemenangannya 50-0.