BEKAS pemain hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, meluahkan rasa kecewa apabila Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) membatalkan penggunaan sistem video rujukan pengadil dalam Pusingan Akhir Siri Hoki Dunia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, bermula 26 April ini.

Mirnawan menganggap sistem itu penting dalam membantu pengadil menentukan keputusan perlawanan, apatah lagi ia turut menjadi saingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

FIH membuat keputusan itu selepas beberapa negara penganjur Siri Dunia yang lain tidak dapat menyediakan sistem yang sama.

Selain Kuala Lumpur, saingan lelaki turut dianjurkan di India dan Perancis sementara wanita di Ireland, Jepun dan Sepanyol.

"Sistem ini penting untuk membantu pengadil membuat keputusan yang lebih tepat. Bagi saya, saingan hoki sudah memasuki zaman yang lebih profesional dan ia sangat penting buat setiap perlawanan hoki," kata Mirnawan.

Bekas kapten skuad hoki kebangsaan itu turut tidak berpuas hati dengan alasan yang dinyatakan oleh FIH apabila Malaysia sudah bersedia menjadi tuan rumah dan sudah menyediakan sistem tersebut.

"Perkara ini tidak adil bagi negara yang memiliki sistem video rujukan pengadil.

"Konfederasi Hoki Malaysia (KOM) akan berusaha untuk memastikan sistem ini dapat digunakan bagi saingan yang berlangsung di Malaysia," katanya.