HUGO Lloris berharap Perancis tidak akan mengulangi kegagalan Euro 2016 ketika berdepan Croatia dalam final Piala Dunia, malam ini.

Paul Pogba mencadangkan Les Bleus dihukum Portugal dalam aksi final dua tahun lalu selepas mengatasi juara dunia, Jerman, dalam separuh akhir, sebelum tewas 1-0 kepada skuad kendalian Fernando Santos itu.

Tetapi Lloris berikrar tidak akan mengulangi perkara yang sama ketika berdepan skuad bimbingan Zlatko Dalic itu di Moscow.

"Saya tidak berasakan ia akan berlaku lagi," katanya

"Saingan dua tahun lalu, kami dibarisi ramai pemain baru.

"Selepas mengatasi Belgium (dalam separuh akhir), kami menyedari meletakkan keyakinan untuk muncul pemenang dalam aksi final. Ia merupakan sasaran kami dan akan mempamerkan aksi terbaik untuk perlawanan ini.

Perancis mengatasi Argentina, Uruguay dan Belgium dalam tempoh 90 minit untuk ke final di Russia manakala Croatia perlu bangkit daripada ketinggalan untuk meraih setiap perlawanan yang dibawa ke masa tambahan.

Bagaimanapun, enggan memandang rendah terhadap jalan sukar yang dihadapi Croatia, Lloris berasakan ia akan menjadi kekuatan lawan untuk mencipta kejayaan.

"Croatia mempamerkan kebolehan mereka beraksi di pentas tertinggi," katanya. "Mereka membuktikan layak mara ke pusingan seterusnya selepas bersaing hingga ke minit terakhir dan ia membuktikan Croatia memiliki keistimewaan tersendiri.

"Ini merupakan perlawanan yang penting buat kedua-dua pasukan. Kami sudah bersedia secara mental dan fizikal. Perlawanan yang istimewa, aksi final Piala Dunia."