Pencapaian dan kehebatan ratu skuasy dunia Datuk Nicol Ann David, 31 dalam gelanggang memang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Nicol hanya berusia 14 tahun ketika memenangi kategori perseorangan skuasy Sukan Asia beliau yang pertama di Bangkok pada tahun 1998.

Baru-baru ini Nicol berjaya mendapatkan pingat emasnya di temasya Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan selepas mengalahkan rakan senegara, Low Wee Wern.

Pemain nombor dua dunia Laura Massaro,30, berkata Nicol berada di kedudukan pertama dunia untuk tempoh yang begitu lama.

“Ramai orang berkata disebabkan beliau dikurniakan abiliti fizikal sejak lahir itu yang membuat dia lincah beraksi di gelanggang. Tidak dinafikan dia memang tangkas.

“Tapi saya percaya semua orang memang lahir dikurniakan bakat tersendiri dan kita yang perlu menggilap bakat kita ke peringkat lebih baik,” tambah beliau.

Laura yang juga merupakan musuh ketat sejak awal profesion Nicol berkata, kesungguhan dan keazaman yang mahu berjaya mendorong Nicol setiap hari.

Kejayaan Nicol juga turut dipuji oleh media antarabangsa.

Ketua Koresponden Sukan The International New York Times, Christoper Clarey turut menulis artikel, A Malaysian Star Lights Up the World’s Squash Court yang menceritakan pencapaian dan kejayaan Nicol.

Editor Eksekutif majalah U.S. Squash Jay Prince pula berkata, “Nicol memang seorang yang mempunyai pergerakan yang lincah tapi dia juga mempunyai kepelbagaian pukulan yang tangkas dan bijak".

Nicol mungkin tidak berpeluang dapat bermain di pentas Olimpik namun usaha dan kejayaan beliau sehingga ini patut diberi penghargaan sewajarnya.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, menyifatkan pihak yang mempertikaikan kejayaan Nicol menyumbang emas kedua negara di temasya Sukan Asia ke-17 Selasa lalu sebagai tidak bertanggungjawab.

Salah seorang pemegang akaun laman sosial Facebook semalam meletakkan komen negatif di status akaun Facebook Khairy dengan memperlekehkan kejayaan Nicol atas alasan sukan tersebut tidak dipertandingkan pada peringkat Sukan Olimpik.

"Bangang," kata beliau ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut.

Khairy berkata beliau tidak kisah jika individu terbabit memperlekehkannya sebagai Menteri Belia dan Sukan namun bukan kepada atlet negara yang bertungkus-lumus mengharumkan nama negara di pentas sukan dunia.