TIDAK ramai mengetahui sejurus pemain Dota 2 Khoo Chong Xin atau Ohaiyo umum dikeluarkan daripada Fnatic, hampir 10 pasukan profesional menawarkan peluang untuk bermain bersama mereka.

Ohaiyo berkata beberapa pasukan tersebut termasuk pasukan China dan Asia Tenggara.

“Sejurus selepas saya umum dikeluarkan daripada Fnatic, ada yang menghantar mesej kepada saya.

“Kebanyakannya adalah daripada pasukan Asia Tenggara kerana mereka menghormati dan suka cara permainan saya,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Ohaiyo berkata dia lebih mempertimbangkan untuk menyertai pasukan di China berbanding Asia Tenggara.

“Ketika ini saya lebih mengutamakan peluang yang ditawarkan pasukan China. Ini rancangan saya buat masa sekarang.

“Saya terfikir untuk ke China dan bermain di sana bagi beberapa tahun. Persaingan e-sukan di sana lebih sengit dan saya mahu terokai lebih banyak pengalaman,” tambahnya.


Video: Kemunculan mengejut Ohaiyo di ESL One Genting

Menurut Ohaiyo, terdapat kira-kira 17 pasukan Dota 2 yang sangat berkebolehan dan saling bersaing antara satu sama lain di China.

Berbanding di Asia Tenggara katanya, tidak banyak pasukan yang boleh memberi saingan yang besar.

“Tidak banyak pasukan kuat yang kita boleh bersaing di Asia Tenggara selain Fnatic, Mineski Pro Team, TNC dan mungkin Geek Fam,” katanya.

Hasrat terpendam

Bermain di China adalah rancangan Ohaiyo untuk detik ini. Walau bagaimanapun dia sebenarnya menyimpan satu impian yang diharapkan dapat menjadi kenyataan.

“Saya mahu berjuang untuk nama Malaysia.

“Jika peminat fikir saya dan beberapa pemain tempatan lain patut membentuk satu pasukan Malaysia pada masa depan, saya rasa itu tidak mustahil,” katanya yang sudah terlibat dalam arena profesinal sejak 2012.

Ohaiyo mempunyai satu impian iaitu untuk bertarung di bawah nama Malaysia untuk sekali lagi. -  Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD

“Sebelum bersara saya berharap dapat berjuang bersama bakat-bakat muda untuk bermain bersama kibaran bendera Jalur Gemilang," katanya.

Kekurangan pemain senior Dota 2 di Malaysia

Ohaiyo sentiasa mengikuti perkembangan terkini pemain-pemain Dota dari seluruh dunia terutama di Malaysia.

Sambil berkongsi permerhatiannya mengenai pemain muda di negara ini jelasnya memang ramai bakat-bakat muda yang berpotensi seperti Flash dan Geek Fam namun tidak ramai pemain senior seperti Mushi untuk membimbing mereka.

Ohaiyo berkata bimbingan pemain senior sangat penting memandangkan Dota 2 bukan hanya sekadar mengenai permainan. Ia mengenai toleransi antara ahli-ahli pasukan.

“Ramai bakat muda mempunyai skill hebat dalam Dota 2 tapi kadang-kadang mereka sukar untuk menang dan ini menjadi satu masalah. Mereka perlukan seorang kapten yang baik.

“Mereka perlu dibimbing oleh pemain senior seperti Mushi. Mushi adalah individu yang membawa saya ke tahap ini. Dia yang mengajar saya bagaimana untuk bermain dan berkomunikasi dengan lebih baik,” tambahnya yang menganggap Mushi sebagai abangnya dalam arena Dota 2.

Ohaiyo juga berkongsikan bahawa dia dan Mushi hampir bersara daripada Dota selepas kejohanan The International 2015 namun iltizam dan keazaman untuk mengharumkan nama ibu pertiwi membantutkan niat itu.

“Saya mahu bantu industri e-sukan di Malaysia untuk terus menyinar. Sebelum bersara saya berharap dapat berjuang bersama-sama bakat muda untuk bermain di bawah nama Jalur Gemilang," ujarnya.