Jaguh tenis Serbia, Novak Djokovic berjaya mara ke separuh akhir kejohanan Tenis Terbuka Australia selepas mencatatkan kemenangan mudah ke atas bintang Kanada, Milos Raonic 6-4, 6-4 dan 7-6 dalam aksi hari ini.

Sekaligus menempah pertemuan dengan jaguh Switzerland, Roger Federer yang lebih awal mara.

Perlawanan yang berlangsung di gelanggang Rod Laver Arena ini menyaksikan Djokovic berjaya mengekalkan momentum terbaiknya selaku pemain nombor dua dunia.

Kemaraan Djokovic, 32, yang sudah merangkul 16 trofi jelajah Grand Slam bakal menyaksikan pertembungan buat kali ke-50 dengan Federer, 39.

Menerusi 49 rekod pertemuan sebelum ini, Djokovic berjaya mencatatkan 26 kemenangan berbanding 23 oleh Federer.

Kali terakhir pertemuan dua jaguh ini adalah pada pusingan akhir Wimbledon 2019 menyaksikan Djokovic berjaya meleburkan Federer untuk merangkul kejuaraan Grand Slamnya yang ke-21.

Untuk rekod, Djokovic sehingga kini berjaya mencatatkan tujuh kemenangan di Terbuka Australia berbanding Federer dengan enam.

Kali terakhir Djokovic meraih gelaran ini adalah pada tahun lalu menerusi aksi dengan Rafael Nadal dengan kemenangan mudah 6-3, 6-2 dan 6-3.