STOKE CITY 1 CHELSEA 2

Diego Costa terlibat dalam beberapa perbalahan dengan pemain-pemain Stoke City, tetapi Antonio Conte berasakan penyerang Chelsea itu telah mempamerkan disiplin yang baik ketika pasukannya meraih kemenangan 2-1.

Penyerang kebangsaan Sepanyol itu telah bertelagah dengan pertahanan Stoke selepas dilayangkan kad kuning pada minit ke-17 kerana tidak berpuas hati apabila dikasari Bruno Martins Indi.

Costa terus diasak oleh Ryan Shawcross dan Phil Bardsley selepas perlawanan diteruskan, tetapi Conte berbangga dengan kesabaran yang dipamerkan oleh Costa bagi mengelak daripada dilayangkan kad kuning kedua.

"Costa bermain dengan baik dan dia telah menunjukkan kepada saya disiplin yang bagus kerana sukar untuk menghadapi perlawanan selepas dilayangkan kad kuning.

"Costa menjaga tingkah lakunya untuk berjuang demi pasukan. Saya mahu dia meneruskan perkar ini dan berpendapat dia akan menjadi seorang pemain yang berkualiti," kata Conte.

Daya ketahanan mental dan fizikal yang dipamerkan Chelsea diketengahkan oleh Conte, walaupun beliau semakin hampir menjulang takhta liga dengan kelebihan 13 mata.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan dalam perlawanan ini kerana kami bersedia secara mental dan fizikal.

"Ia adalah perlawanan yang sukar, kami cuba untuk bermain bola sepak. Saya berpendapat kami berhak meraih tiga mata penuh.

"Masih berbaki 10 perlawanan, satu petanda yang baik buat kami. Komitmen yang dipamerkan oleh pemain-pemain sangat menakjubkan," ujarnya.