REVOLUSI Ole Gunnar Solskjaer terus menunjukkan perkembangan positif terhadap pasukan Manchester United, selepas skuad itu melakar kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan Tottenham Hotspur 1-0.

Gol kemenangan United dijaringkan Marcus Rashford seminit sebelum babak pertama tamat, selepas penyerang antarabangsa England itu menerima hantaran cantik daripada Paul Pogba.

Namun wira sebenar skuad the Red Devils itu adalah penjaga golnya, David De Gea yang tangkas menyelamatkan 11 percubaan pasukan tuan rumah.

Perlawanan di Stadium Wembley itu menyaksikan Spurs menguasai 61% permainan namun beberapa percubaan deras daripada Harry Kane dan Dele Alli dapat diselamatkan De Gea.

Pemain gantian Spurs, Fernando Llorente turut melepaskan satu rembatan ke arah gol dari jarak dekat namun ia sekadar singgah tepat ke arah penjaga gol Sepanyol itu.

Sejak Solskjaer mengambil alih tugas sebagai pengurus pasukan United daripada Jose Mourinho, skuad the Red Devils mencatat kemenangan dalam semua enam perlawanan yang dikendalikannya.

United kekal di tangga keenam dengan 41 mata dalam carta liga, jumlah mata yang sama dengan Arsenal yang menduduki tangga kelima disebabkan kelebihan perbezaan jaringan.