Pasukan profesional Counter-Strike: Global Offensive (CSGO) tempatan FrostFire mengekalkan prestasi yang memberangsangkan dalam arena e-sukan itu apabila menjuarai Kejohanan MSI Grand League baru-baru ini.

Kapten FrostFire Aiman Azham berkata kemenangan yang diraih pada pusingan final menentang pasukan Singapura Vindicta itu agak di luar jangkaan.

“Kami bermula dengan laluan yang agak sukar apabila kami ketinggalan pada enam pusingan yang pertama berikutan masalah komunikasi yang dilihat sangat berterabur.

“Saya fikir keajaiban muncul pada separuh masa kedua apabila kami mula mendapat rentak kembali dan kembali menguasai permainan.

“Pada pusingan ke-27, mereka mendahului kami dengan 14 perlawanan. Ketika itu kami tidak mempunyai 'duit' yang cukup untuk membeli 'senjata'.

"Namun kesilapan banyak dilakukan dari pihak Vindicta dan kami gunakan kesempatan itu,” kata Aiman kepada Astro AWANI selepas selesai perlawanan tersebut.

Dalam kejohanan tersebut, FrostFire muncul juara selepas mengalahkan Vindicta yang berada di tempat kedua. Sementara itu, tempat ketiga kejohanan tersebut diisi pasukan Brunei, Goodfellas Gaming.

Selain Aiman, pasukan tersebut terdiri daripada Shamir “subbey” Aliff, Ahmad Khalish "d4v41” Rusyaidee, Mohammad Ashraf “acAp” Firdaus dan Azim “Chapman” Shaharudin.

CSGO merupakan permainan video menembak berbilang pemain yang dibangunkan Hidden Path Entertainment dan Valve Corporation.

Pada Kejohanan Sukan Elektronik Dunia (WESG) tahun lalu, e-sukan ini menawarkan hadiah wang terkumpul sebanyak RM6.06 juta.