LIGA Perdana berkata tiada sebarang perancangan untuk menunda perlawanan lain selepas pertemuan di antara Manchester City dan Arsenal awal pagi esok terpaksa dibatalkan kerana kebimbangan penularan wabak COVID-19.

City dijadualkan untuk menantikan kunjungan Arsenal di Stadium Etihad, namun perlawanan itu tidak dapat diteruskan berdasarkan nasihat perubatan.

Keputusan itu dibuat "selepas pegawai daripada Arsenal berjumpa dengan pemilik Olympiacos dan Notingham Forest, Evangelos Marinakis, yang disahkan positif COVID-19".

Arsenal mengesahkan bahawa pemain mereka akan diasingkan selama 14 hari di rumah masing-masing manakala empat pegawai mereka juga akan dikuarantin di rumah sehingga cukup tempoh dua minggu.

BACA: COVID-19: Perlawanan Arsenal - City ditangguh, pemain dikuarantin 14 hari

BACA: FIFA, AFC tangguhkan kelayakan Piala Dunia rantau Asia

Dalam satu kenyataan, Liga Perdana berkata: "Kami sedar ia akan memberikan kesulitan terhadap kos dan perancangan penyokong untuk menyaksikan perlawanan ini tetapi Arsenal, Manchester City dan Liga Perdana telah bersetuju bahawa notis singkat mengenai jangkitan Encik Marinakis bermakna tidak ada jalan penyelesaian selain menundanya untuk menilai setiap risiko yang ada.

"Semua langkah yang sepatutnya sudah diambil dan Liga Perdana tiada sebarang perancangan untuk menunda perlawanan lain."

City kendalian Pep Guardiola akan menantikan kunjungan Burnley hujung minggu ini manaka Arsenal akan bertandang ke laman Brighton and Hove Albion.

Itali merupakan negara selain China yang paling terjejas gara-gara wabak berkenaan dengan Serie A dan kesemua acara sukan di negara itu terpaksa ditangguhkan sehingga 3 April ini.

Ia selepas lebih daripada 10,100 kes dan 600 kematian direkodkan di negara itu.

Lebih 3,000 mangsa terbunuh di China selain enam kematian dan lebih 380 kes dicatatkan di United Kingdom.