BINTANG seni beladiri campuran Conor McGregor mengumumkan akan kembali ke gelanggang MMA selepas gagal mempamerkan aksi cemerlang dalam arena tinju.

"Saya rasa perjuangan sebenar ialah apa yang saya mahu lakukan seterusnya. Pertarungan sebenar... iaitu MMA," katanya seperti dipetik TMZ.

Terdapat juga desas desus mengenai pertarungan McGregor dengan peninju Filipina Manny Pacquiao, namun seolah terhenti apabila Presiden UFC Dana White mengancam untuk menyaman Pacquiao.

Ketika ini, McGregor dilaporkan masih kekal di bawah kontrak UFC.

Kali terakhir McGregor bertarung ialah dengan peninju Amerika Syarikat, Floyd Mayweather pada Ogos lalu.

Dalam pertarungan itu, beliau tewas dengan Mayweather menerusi keputusan knockout teknikal (TKO) di pusingan ke-10.

Keputusan tersebut melebarkan rekod Mayweather kepada 50-0, memecahkan rekod 49-0 oleh peninju lagenda Rocky Marciano.

Dalam pada itu, McGregor turut menolak kemungkinan akan bertarung di WWE, dengan alasan tidak mahu mengikut jejak Ronda Rousey.