BUAT pertama kali selepas dua bulan, Manchester City berjaya memintas dan kembali ke persada Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Everton 2-0 di Goodison Park awal pagi Khamis.

Terima kasih kepada jaringan Aymeric Laporte dan Gabriel Jesus, City memanfaatkan aksi goyah Liverpool dan memintas kelab Merseyside itu dengan kelebihan perbezaan gol.

Laporte menanduk masuk gol pembukaan pada minit akhir separuh masa pertama, kemudian Jesus masuk dari bangku simpanan dan mengulangi gerakan tersebut pada penghujung separuh masa kedua. Jaringan yang biasa namun sangat bermakna.

Juga buat kali ke-15, City berjaya meledak daripada percubaan pertama mereka, semakin memperkemas permainan dan keberkesanan taktikal, hasil ketenangan dan konsistensi yang dikemudi Pep Guardiola.

Walaupun masih berkelebihan satu perlawanan daripada City, sukar untuk Liverpool kembali selesa di depan walaupun melakar kemenangan daripada perlawanan seterusnya menentang Bournemouth dan 12 perlawanan lagi sebelum juara musim ini dinobatkan.

The Reds terpaksa menerima padah daripada ketumpulan aksi mereka menentang Leicester City dan West Ham United yang sekadar berkesudahan seri, menyebabkan mereka kerugian empat mata berharga dalam masa empat hari.

Jurgen Klopp mungkin sudah cemas, dengan senarai kecederaan yang membimbangkan terutamanya pada benteng pertahanannya.

Untuk rekod, Joe Gomez masih dalam pemulihan daripada pembedahan, Dejan Lovren masih belum disahkan pulih dan cergas untuk kembali beraksi, juga pemain penting di tengah, Giorginio Wijnaldum turut dibelenggu kecederaan.

Pertemuan dengan gergasi Jerman, Bayern Munich dan musuh tradisi, Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah juga mampu merencatkan usaha kebangkitan Liverpool untuk menjulang gelaran liga pertama sejak kali terakhir pada 1990.

Penyokong City sudah mula bersorak, menyedari ia satu kemenangan yang cukup penting ketika penghujung musim semakin hampir.

Baki musim ini pasti menjanjikan debaran untuk menyaksikan bukan sahaja City atau Liverpool, tetapi jangan dilupa Chelsea, Tottenham Hotspurs dan pasukan yang semakin tinggi moralnya, Manchester United untuk menjelmakan kejutan sebelum tirai 2018/2019 ditutup.