Jaguh perseorangan badminton lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dijangka akan mengadakan sidang media khas bagi menjelaskan perkembangan terkini kesihatan diri dan hala tuju kerjayanya.

Sidang media itu akan diadakan bersama dengan Persatuan Badminton Malaysia ( BAM) di pejabat persatuan itu di Kuala Lumpur Khamis ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang memaklumkan perkara itu berkata, semua kemusykilan akan dijelaskan pada hari tersebut dan beliau percaya Chong Wei akan memberi khabar gembira buat semua peminatnya.

Chong Wei sebelum ini disahkan menghidap kanser hidung dan beliau kini berehat selepas menjalani rawatan penyakitnya itu.

"Chong Wei bersama BAM akan membuat satu kenyataaan akhbar yang selama ini ditunggu-tunggu oleh peminat badminton.

"Sebagaimana saya katakan sebelum ini, proses pemulihan (Chong Wei) berjalan lancar, dan saya percaya tak lama lagi Chong Wei akan buat kenyataan dan beri kita khabar gembira.

"Terserah kepada beliau untuk buat apa saja kenyataan. Sekiranya beliau ingin teruskan bermain, kita akan sentiasa memberi sokongan padu," ujar Mohamad Norza.

Tambahnya, Chong Wei adalah contoh terbaik untuk generasi muda kerana baik di gelanggang mahupun di luar gelanggang, jaguh negara itu menunjukkan semangat juang tinggi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Kejohanan Badminton Victor Antarabangsa Siri 2018 yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di Georgetown pada Selasa.

Sebelum ini, timbul khabar angin Chong Wei berkemungkinan besar terpaksa menamatkan kerjaya sebagai pemain badminton selepas menerima nasihat pakar perubatan dari Taiwan ketika menjalani rawatan pemulihan kanser hidung dihidapinya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Norza berkata pihaknya mengalu- alukan kesediaan kerajaan Pulau Pinang yang mahu menubuhkan Akademi Badminton di Pulau Pinang dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat baru dan pelapis dalam arena badminton negara

Ujarnya, ia langkah terbaik untuk menonjolkan bakat baharu di zon utara dan tidak tertumpu di Kuala Lumpur sahaja.