Jose Mourinho enggan terbawa-bawa dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Maccabi Tel Aviv dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi selepas prestasi hambar yang dipamerkan skuadnya kebelakangan ini.

Eden Hazard gagal menyempurnakan sepakan penalti pada awal permainan, namun gol Willian, Oscar, Diego Costa dan Cesc Fabregas membantu kemenangan pertama mereka dalam aksi sulung saingan Eropah musim ini.

"Saya gembira dengan keputusan dan persembahan kami. Begitu juga saya tidak berasa buruk ketika mencatat keputusan buruk, dan tidak berasa selesa ketika kami menang perlawanan," katanya.

Hanya The Blues muncul pasukan daripada Liga Perdana Inggeris yang meraih kemenangan, di mana Arsenal turut mengikut jejak Manchester City dan Manchester United yang tumpas.

Arsene Wenger secara terangan mengkritik Oliver Giroud yang dibuang padang dalam kekalahan 2-1 kepada tuan rumah Dinamo Zagreb. Malah beliau turut tidak gembira dengan sentuhan penyudah tumpul yang dipamerkan penyerang Perancis itu.

Wenger juga menyalahkan pengadil yang didakwa berat sebelah kerana gagal menghadiahkan sepakan percuma sekalipun pemainnya kerap dikasari.

Di kota Rom, penyandang juara Barcelona diikat 1-1 oleh Roma sehingga mengundang jurulatih kelab Catalan itu, Luis Enrique mengkritik taktik negatif yang diterapkan lawan mereka.

"Saya rasa kami berhak menang perlawanan ini," jelasnya.

Suarez membuka jaringan pada minit ke-21 sebelum Alessandro Florenzi meledak gol penyamaan sebelum waktu rehat.

Bayern Munich tidak berdepan masalah menjinakkan Olympiacos 3-0 yang menyaksikan Thomas Muller meneruskan rentak cemerlangnya dengan dua jaringan dan satu gol disumbangkan Mario Gotze.