Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan melaksanakan tempoh kelayakan Olimpik lanjutan bermula minggu pertama hingga ke-17 2021, merangkumi kejohanan terpilih yang ditunda, dibatal atau digantung susulan wabak COVID-19.

Dalam kenyataannya pada Rabu, badan badminton dunia itu berkata kejohanan yang layak mesti diselesaikan menjelang minggu ke-17 2021, bagaimanapun kejohanan yang dijadualkan semula bagi penghujung 2020 di bawah Kalendar Kejohanan BWF yang dirombak dan diumumkan minggu lepas tidak termasuk dalam proses kelayakan.

"Hanya kejohanan edisi 2021 akan diambil kira untuk kelayakan," demikian menurut kenyataan itu.

BWF juga berkata pemain dari China dan Hong Kong layak meraih mata daripada Kejohanan Berpasukan Asia 2021 selaku wakil benua Asia.

Kedua-dua negara itu tidak menyertai edisi 2020 pada Februari lepas setelah kerajaan Filipina mengenakan sekatan perjalanan terhadap atlet kedua-dua negara disebabkan pandemik COVID-19.

"Pendekatan ini hanya untuk kejohanan berpasukan ini sahaja yang terjejas akibat COVID-19 memandangkan tiada kejohanan berpasukan lain tersenarai di bawah tempoh kelayakan Olimpik lanjutan," katanya.

Sementara itu, BWF dalam kenyataan sama berkata Kejohanan Antarabangsa Badminton Para Sepanyol 2020 yang dibatalkan akibat COVID-19 kini dimasukkan di bawah sistem kelayakan yang diubah suai bermula 1 Jan hingga 28 Mac 2021.

Tarikh baharu kejohanan akan diumumkan kelak, katanya.

-- BERNAMA